Maksudnya  "Ya Allah, wahai Zat Yang Maha Kaya, wahai Zat Yang Maha Terpuji, wahai Zat Yang Memulai, wahai  Zat Yang Mengembalikan, wahai Zat Yang Maha Penyayang, wahai Zat Yang Maha Pengasih. Cukupilah kami dengan kehalalan-Mu dari keharaman-Mu. Cukupilah kami dengan anugerah-Mu dari selain-Mu Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmat dan kesejahteraan atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W, keluarga dan para sahabat beliau."



Berusaha mendapatkan rezeki halal dituntut dalam Islam. Malah di dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menganjurkan umat Islam supaya berusaha mencari rezeki halal.
Ayat-ayat al-Quran menjelaskan bahawa berkerja adalah tugas serta tanggungjawab yang tidak dapat dielakkan dan merupakan satu ibadah. Malah, sebarang usaha mencari rezeki halal adalah fardu ain. Rasulullah s.a.w. mengingatkan : Mencari sesuatu yang halal adalah fardu selepas menunaikan fardu (sebelumnya).
Mungkin timbul di fikiran kita, Kenapa orang yang mencari rezeki di jalan yang tidak halal dikurniakan kemewahan dan kesenangan. Sedangkan orang yang mencari rezeki di jalan halal, kehidupannya ala kadar sahaja?
Mengupas pelbagai persoalan berhubung rezeki ataupun disebut hasil pendapatan sebagaimana saranan Islam, ikuti perbualan bersama Pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Mushaddad Hasbullah sewaktu ditemui di kampus induk KUIM di Bandar Baru Nilai, baru-baru ini.

Apakah definisi rezeki dan rezeki yang diberkati menurut pandangan Islam?
Jawapan: Rezeki dari segi bahasa bermaksud ar-rizq atau al-`atha’ iaitu pemberian. Manakala, dari segi istilah ialah sesuatu yang diberikan Allah s.w.t. kepada semua makhluk, tidak kira sama ada ia halal atau haram.
Rezeki berkat pula bermaksud, rezeki yang Allah s.w.t. kurniakan kepada kita, tetapi ia sesuatu yang baik dan cara ia diperoleh juga baik. Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah, ayat 168 bermaksud: “Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.”
Ayat ini menjelaskan lagi bahawa kita mesti mendapatkan rezeki yang berkat, kerana Allah s.w.t. menyebut demikian. Kita diperintahkan supaya bukan setakat memakan rezeki yang halal tetapi juga rezeki yang baik harus menjadi prioriti. Contohnya, sesuatu makanan yang halal belum tentu baik kerana ia menjejaskan kesihatan kita sekiranya diambil dalam jumlah banyak, seperti gula, daging atau makanan yang sudah basi.
Selain itu, mencari rezeki juga memerlukan tujuan yang baik, bukan tujuan untuk mencari kekayaan semata-mata dan menjadi takbur de-ngan kekayaan itu, ataupun mencari rezeki bertujuan membantu orang kafir, membunuh orang Islam dan banyak lagi.
Malah dalam konteks berkat itu sendiri, ia membawa maksud bertambah secara maknawi atau tersirat. Ini tidaklah bermakna rezeki RM100.00 menjadi RM150.00, tetapi kita merasa cukup dengan pendapatan yang sederhana biar pun jumlah anak ramai.
Walaupun perkara ini tidak disebutkan di dalam al-Quran atau hadis, tetapi berkat itu sendiri membawa maksud peningkatan, penambahan dan penyuburan.